Rabu, 27 Januari 2010

DOSA OH DOSA




Dosa ialah balasan buruk yang diberikan oleh Allah kepada mereka yang melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah. Masalah dosa ini dianggap perkara biasa dan menjadi perkara yang tidak bersalah disebabkan perkara yang dilarang oleh Islam menjadi adat dan budaya kehidupan masyarakat sekarang seperti pergaulan bebas, tidak solat, tidak puasa dan sebagainya. Ada sebahagian masyarakat kita yang berani melanggar undang-undang Allah dengan tidak ada perasaan gentar dan takut akan kesalahan yang dilakukan, tetapi apabila ia melanggar undang-undang dunia dia merasa takut sehingga tidak tidur malamnya kerana mengenangkan kesalahan dunianya. Para alim ulamak dahulu sehingga bengkak matanya menangis mengenangkan kesalahan dosanya kepada Allah, mereka bertaubat kepada Allah dengan taubat nasuha kerana takut akan siksaan Allah yang sangat pedih.

Cuba kita renung manakah siksaan yang sangat pedih diantara siksaan dunia dan akhirat? Cuba kita duduk seketika merenungkan perbezaan siksaan Allah dan siksaan manusia yang manakah lebih teruk dan pedih. Bagi orang yang mempunyai ketaqwaan akan mengatakan bahawa siksaan Allah sangat pedih walaupun ia tidak pernah melihat siksaan Allah tetapi berbekalkan keyakinan apa yang diceritakan dalam Al-Quran. Manakala bagi orang yang munafik dan tidak beriman kepada Allah akan berjawapan bahawa siksaan dunia sangat pedih kerana takutkan mati ditali gantung, takutkan penjara yang tidak bebas, takutkan saman dari pihak berkuasa dan sebagainya, tetapi ia lupa kepada siksaan dan undang-undang Allah lebih dahsyat dari itu.

Marilah kita renung seketika berapa banyak dosa yang telah kita lakukan pada hari ini dan hari-hari yang lepas, adakah kita telah memohon ampun dari Allah dengan sebenar taubat. Jika tidak memohon ampun lagi maka cepat-cepatlah beristighfar kepada Allah, segera memohon ampun dan bertaubat kepada Allah, mudah-mudahan segala dosa yang telah kita lakukan diampunkan Allah. Ingatlah sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun dan Maha penyayang.

Faktor-faktor Yang Mendorong Manusia Melakukan Dosa seperti seseorang itu terpengaruh dengan perangai kawan yang jahat, ingin hidup bebas tanpa batasan agama, sikap angkuh dan sombong kerana harta dan pangkat.

Jenis-Jenis Dosa


  1. Dosa besar iaitu kesalahan yang dikenakan hukuman tertentu di dunia dan amaran azab di akhirat. Contoh minum arak, berzina, membunuh, mengumpat dan derhaka kepada ibu bapa. Orang yang melakukan dosa besar akan dikenakan hukuman kisas, hudud, takziz dan menerima seksa neraka jika tidak bertaubat

  2. Dosa kecil iaitu kesalahan yang tidak diberi peruntukan hukuman tertentu di dunia atau amaran azab di akhirat. Contohnya melihat aurat bukan muhram,Bercakap perkara yang tidak memberi faedah dan banyak lagi. Bagi orang yang melakukan dosa kecil akan memperolehi dosa dan jika dilakukan secara berterusan boleh menjadi dosa besar

Contoh-contoh Dosa Besar

  1. Menghina dan menderhaka kepada kedua ibu bapa

  2. Menipu dan berbohong

  3. Mencuri dan merompak

  4. Riba

  5. Makan harta anak yatim

  6. Lari dari medan perang

  7. Mengumpat dan memfitnah

  8. Minum arak dan menagih dadah

  9. Zina

  10. Menuduh perempuan baik melakukan zina

  11. Liwat dan musahaqah

  12. Membunuh atau membunuh diri

Ahad, 24 Januari 2010

WASIAT TERAKHIR SAIDINA ALI

Wasiat Terakhir Saidina Ali r.a.


Ketika Saidina Ali r.a. sedang nazak kesakitan, beliau memperbanyakkan membaca zikir ‘la ilaha ilallah’. Di hujung hayatnya, beliau telah memberikan wasiat kepada anak-anaknya, Hasan dan Husain r.a. Wasiat tersebut telah di tulis oleh mereka.

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani




(Gambar : Makam Saidina Ali r.a yang rosak dibedil tentera penceroboh di Iraq.)


Ini adalah wasiat Ali bin Abu Talib. Dia naik saksi bahawa tidak ada tuhan selain Allah. Tiada sekutu bagiNya. Dan bahawa Muhammad adalah hambaNya dan rasulNya. Allah mengutuskannya dengan hidayah dan agama yang benar agar agama ini menang ke atas semua agama walau pun dibenci oleh orang-orang musyrik.

“Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan aku adalah orang Islam yang awal pertama.” (Al-An’am: 162-163)

Aku mewasiatkan kamu wahai Hasan, semua anak-anakku dan sesiapa sahaja yang sampai kepadanya wasiatku ini agar bertakwa kepada Allah, Tuhan kamu. Jangan sekali-kali kamu mati kecuali kamu Islam. Berpeganglah kepada tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah. Sesungguhnya aku mendengar Abu al-Qasim s.a.w. bersabda: “Hubungan manusia yang baik itu lebih baik dari solat dan puasa keseluruhannya.”

Lihatlah saudara mara kamu dan hubungkan diri kamu dengan mereka agar Allah meringankan hisabNya ke atas kamu. Demi Allah, Allah bersama anak-anak yatim. Jangan biarkan mereka lapar dan jangan cuaikan mereka. Demi Allah, Allah bersama jiran kamu. Sesungguhnya itu adalah wasiat Nabi kamu. Nabi s.a.w. terus menerus memberikan wasiat (agar berbuat baik terhadap jiran) sehingga kami menyangka bahawa jiran akan mewarisi harta. Demi Allah, Allah bersama al-Quran. Jangan orang lain mendahului kamu di dalam mengamalkan al-Quran. Demi Allah, Allah bersama solat. Sesungguhnya solat adalah tiang agama kamu. Demi Allah, Allah bersama rumah Tuhan kamu. Jangan kamu asingkan diri dari rumah Allah selagi kamu masih hidup. Sesungguhnya rumah Allah jika ditinggalkan kamu tidak akan dipandang. Demi Allah, Allah bersama bulan Ramadhan. Sesungguhnya puasa di bulan Ramadhan adalah pelindung dari neraka. Demi Allah, Allah bersama jihad di jalan Allah dengan harta kamu dan jiwa kamu. Demi Allah, Allah bersama zakat. Sesungguhnya zakat memadamkan kemurkaan Tuhan. Demi Allah, Allah bersama umat di bawah tanggungan Nabi kamu. Jangan kami menzalimi mereka di hadapan kamu. Demi Allah, Allah bersama sahabat Nabi kamu. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. berpesan kepada kamu agar berbuat baik terhadap mereka. Demi Allah, Allah bersama golongan fakir miskin. Sertakan mereka di dalam kehidupan kamu. Demi Allah, Allah bersama hamba-hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya perkara terakhir yang diucapkan oleh Rasulullah s.a.w. adalah: “Aku berpesan terhadap kamu agar berbuat baik terhadap dua golongan yang lemah; isteri-isteri kamu dan hamba-hamba yang kamu miliki.”

Jagalah solat. Jagalah solat. Jangan kamu takut celaan orang yang mencela dalam menjalankan agama Allah. Cukup Allah bagi kamu untuk melindungi kamu dari orang-orang yang ingin berbuat jahat terhadap kamu dan melakukan perlampauan ke atas kamu. Ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Allah ke atas kamu. Jangan tinggalkan amar makruf dan nahi mungkar. Jika kamu tinggalkan, orang-orang jahat akan menjadi pemimpin kamu dan ketika itu jika kamu berdoa, Allah tidak akan makbulkan.

Hendaklah kamu saling berhubungan dan bekerjasama. Jauhi dari khianat dan berpecah belah. Tolong-menolonglah di dalam perkara-perkara kebaikan dan taqwa. Jangan tolong menolong dalam perkara dosa dan permusuhan. Bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat pedih azabNya. Moga-moga Allah memelihara ahli keluarga Nabi dan memelihara Nabi kamu. Aku tinggalkan kamu dan mendoakan kesejahteraan ke atas kamu. Moga-moga Allah akan merahmati kamu.

Selepas wasiat ini, Saidina Ali r.a. tidak mengucapkan kalimah lain selain ‘la ilaha ilallah’. Sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir beliau membaca firman Allah:

“maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!” (Az-Zalzalah: 7-8)

CHEESE CAKE DI HUJUNG MINGGU

Pagi weekend ni mesti nak do something..apa projeknya?masak ajelah..apa nak dimasak?fenin kapla dok pikiaq.petang ni hubby nak out station.anak dara nak balik hostel.maka layarilah blog yang ada resepi..cari punya cari jumpa "mat gebu"..ok juga boleh toghai ni..checklist bahan-bahannya.."CHEESE CAKE"..mat gebu kata resepinya dari chef wan..tak pa la..dah jumpa dalam blog mat gebu credit untuk dua-dua sekali...

ada nak jadi ni buat sat lagi..tak pa try n error..tengok mat gebu punya cake 1st class.kalau jadi ada susulannya ya...kalau lembik ka..bantat ka..diam tang ni ja la..

P1160489
BAHAN-BAHANNYA :-)

250 g cream cheese
150 g mentega
3/4 cawan gula halus (mat kurangkan sikit)
3 biji telur gred A'
1 3/4 cawan tepung gandum*
1 camca teh baking powder*
1/2 camca teh soda bicarbonate*(*digaul dan diayak)
1 camca teh esen vanilla
1/4 cawan susu segar
4 camca besar blueberry filling
4 camca besat strawberry filling
Sedikit "snow powder", untuk hiasan (jika suka)


CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan oven pada suhu 175C, sapu bundt-pan dengan mentega dan tabur sedikit tepung, ratakan dan ketuk keluar lebihan tepung (dalam gambar mat guna acuan silicone). Ketepikan.
  2. Putar mentega, cream cheese dan gula halus hingga kembang. Tambah telur satu persatu sambil terus memutar hingga gebu, jangka waktu untuk sebiji telur ialah 1 minit. Perlahankan speed, masukkan tepung berselang seli dengan susu. Buat hingga habis.
  3. Masukkan esen vanilla dan kacau rata. Isi 1/3 adunan ke dalam bundt-pan, sudukan strawberry filling, ratakan dengan chopstick. Kemudian, masukkan 1/3 lagi adunan dan sudukan pula blueberry filling, ratakan juga. Akhir sekali tutup dengan lebihan adunan, ratakan.
  4. Bakar 55 minit hingga 1 jam, bergantung pada oven masing2. Lepas 55 minit, periksa kek dengan mencucuk lidi sate di tengah2 bahagian kek, jika keluar bersih, kek pun dah masak. Jika belum ok, sambung membakar hingga kek masak. Sejukkan kan sepenuhnya atas jaringan. Ayak "snow powder" atas kek sebagai hiasan...
CATATAN MAT GEBU :- AWAS!!!...jika menggunakan acuan silicone, jangan sekali2 cucuk terlalu dalam atau guna lidi sate yang tajam..takut tercucuk acuan dan bocor!...elok guna lidi sate yang tumpul dan agak2 leer jangan sampai tembus (kalau guna acuan tin, tak de masalah yeaa)..."Snow Powder" tu macam gula aising (boleh guna gula aising sebagai ganti) tapi ianya berbeza dari gula aising. Snow powder ni tak mudah larut atau melengas bila dok lama di atas kek...

BAYI BERKEPALA DUA DI PERUT


PENDUDUK di Nibung Putih, Muarasabak Barat, Tanjung Jabung Timur dekat sini gempar apabila seorang wanita tempatan, Irawati melahirkan seorang bayi lelaki berkepala dua pada Selasa lalu, lapor akhbar tempatan semalam.

Anak pertama wanita yang berusia 25 tahun itu selamat dilahirkan di rumahnya dengan berat 3.2 kilogram sebelum dibawa ke Hospital Nurdin Hamzah dan kemudian dirujuk ke Hospital Daerah Raden Mattaher di sini kelmarin.

Bayi yang diberi nama Anugrah Arya Suprianta memiliki kepala kedua di perutnya.

Kata bapanya, Abdul Kassim, 29, seorang petani, pada mulanya bayi itu disangka sebagai anak kembar kerana tidak menunjukkan sebarang tanda aneh sepanjang pemeriksaan sebelum dilahirkan.

"Tidak ada gambaran bahawa anak kami akan memiliki kepala dua namun, kami tabah dengan keadaan ini kerana dia adalah amanah Allah," katanya.

Pasukan polis kini diletakkan di rumah pasangan itu bagi mengawal orang ramai yang teruja mahu melihat bayi tersebut. Pada 26 Disember lalu, satu bayi berkepala dua juga dilahirkan di Garut, Jawa Barat tetapi meninggal dunia beberapa jam kemudian.

Selasa, 19 Januari 2010

KEPALA BIRI-BIRI SEPERTI KEPALA MANUSIA



Seorang doktor haiwan di sebuah kampung di Turki, Erhan Elibol terkejut selepas dia mendapati terdapat seekor anak biri-biri memiliki wajah seperti manusia, lapor beberapa buah akhbar semalam.

Anak biri-biri itu dikeluarkan menerusi pembedahan daripada ibunya.

Anak biri-biri itu yang mempunyai mata, hidung dan bibir seperti manusia.

"Saya pernah melihat anak lembu dan biri-biri yang dilahirkan dengan mempunyai tubuh yang pelik akibat proses mutasi seperti yang bermata satu, berkepala dua atau berkaki lima.

"Namun, apabila melihat anak biri-biri itu memiliki mata, hidung dan mulut seperti manusia, saya tidak percaya dengan apa yang saya lihat," kata doktor veterinar berusia 29 tahun itu.

Ramai pakar haiwan menganggap anak biri-biri yang mempunyai wajah mirip manusia itu berlaku kerana ibunya kekurangan zat vitamin A.

Menurut doktor itu, ibu biri-biri itu tidak dapat melahirkan anaknya itu secara normal menyebabkan pembedahan tersebut dilakukan.

Pada September tahun lalu, seekor anak kambing dilahirkan dengan mukanya mirip manusia dan hidup beberapa jam sebelum dibunuh dan dibakar oleh penduduk di sebuah kampung di Zimbabwe.

Gabenor di wilayah tempat anak kambing itu dilahirkan di Zimbabwe menyatakan kejadian tersebut berlaku akibat hubungan seks antara seorang lelaki dengan seekor kambing betina. - Agensi [Sumber: Kosmo]

Isnin, 18 Januari 2010

AJI OH AJI ENGKAU PEMBUNUH YA...

AWAS ! Bahaya MSG dalam makanan harian anda



"Tambahkan sedikit untuk kelazatan masakan anda!” Demikianlah meyakinkan sekali janji-janji yang memujuk hati segenap surirumah. Penggunaan Mono Sodium Gulamate (MSG) dalam penyediaan juadah Malaysia bukan lagi asing. Sebagaimana pentingnya bawang, lada dan garam, begitu jugalah peranan MSG yang dianggap nadi penyedap kepada masakan. Oleh itu tidak hairanlah jika hampir semua rumah di Malaysia pasti memiliki sekurang-kurangnya sebotol penambah perisa tersebut sebagai ‘teman’ setia di dapur.
Tetapi adakah kita sedar, bahawa pelbagai kajian saintifik yang dijalankan oleh pakar-pakar seluruh dunia mendapati bahawa MSG memberi impak negatif kepada kesihatan manusia? Tahukah kita bahawa penggunaan MSG pernah dikritik hebat oleh Persatuan Barah Kebangsaan Jepun, negara kelahirannya sendiri? “Silent Killer”
Buktinya pada 25 Oktober 1983, Dr. Shozo Takayama dari institusi tersebut telah menjalankan kajian ke atas 84 ekor tikus yag diberi dua jenis MSG. Selepas 16 bulan, keputusannya menunjukkan tikus-tikus berkenaan telah mengalami tanda-tanda tumor (ketumbuhan) pada paru-paru, usus kecil dan besar, bawah kulit, perut dan otak. Demikian juga hasil kajian Dr. John W. Olney dari University Washington pada awal tahun 1968, yang menunjukkan bahawa MSG mampu menjejaskan otak dan urat saraf.

Fakta ini terbukti dengan sendirinya apabila pada tahun yang sama, muncul sejenis penyakit yang digelar “Sindrom Restoran Cina” (Chinese Restaurant Syndrome). Ia ditemui oleh Dr. RHM Kwok dari Amerika Syarikat yang mengkaji pelanggan-pelanggan di sebuah restoran makanan cina yang mengalami rasa kebas di tengkuk, menurun ke bahagian lengan dan belakang, lemah-lemah anggota dan denyutan koronari yang berlaku setiap 15 hingga 20 minit. Semua symptom ini dialami selepas menjamah hidangan cina, dan puncanya adalah akibat penggunaan MSG yang tinggi. Kajian ini disokong lagi oleh Dr. Baker dan Allen dari hospital Royal North Shore, Sydney, apabila dua pesakitnya diserang asma kronik selama 12 jam sesudah menikmati masakan cina.

Selain itu, kesan MSG turut terlihat pada kanak-kanak. Penggunaan secara berleluasa MSG dalam makanan ringan dan makanan bayi menyebabkan anak-anak turut terdedah kepada bahaya ini. Menurut Dr. Olney lagi, proses penyerangan secara halus MSG terhadap otak bayi yang normal mungkin tidak dapat dikesan, namun ia tetap mendatangkan kesan buruk apabila bayi tersebut mencapai tahap kematangan. Tambahan pula, kesan ini turut membantutkan kebolehan anak menerima pelajaran.

Elak sebelum terlambat
Kajian yang pernah dijalankan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang ke atas 100 keluarga mendapati 73 daripadanya menggunakan MSG dalam masakan harian, sementara 19 daripada 21 keluarga lagi memberikan MSG kepada anak yang berumur bawah 6 tahun. Ini menunjukkan masyarakat kita secara keseluruhannya menggunakan MSG dalam kehidupan. Itu belum lagi di kalangan peniaga restoran dan warung, serta makanan bertin dan makanan ringan yang ada di pasaran. Bererti, tanpa kita sedari, masyarakat kita sebenarnya sangat terdedah kepada bahaya MSG

Selasa, 12 Januari 2010

DOA-DOA ANGGOTA WUDUK

DOA-DOA ANGGOTA WUDHUK..MENSUCIKAN ZAHIR DAN BATIN..SELAMAT BERAMAL

Sesungguhnya dalam berwudhu', seharusnya kita bukan sahaja berniat untuk mensucikan zahir (lahiriah) tubuh kita, tapi juga batin kita. jadi Bagaimana caranya?
berikut adalah doa-doa yang boleh kita baca dalam setiap gerakan bersuci anggota wudhu kita. Dengan membaca doa-doa ini, kita akan lebih khusyuk dalam berwudhu, sehingga hati kita tidak dikotori oleh hal-hal lain. Insya Allah, dengan cara ini, batin kita pun akan menjadi bersih ketika kita berwudhu.antara doa-doanya ialah:

Ketika membasuh dua tapak tangan, ucapkan seperti ini:
Ya Allah, peliharakanlah tanganku dari segala berbuat maksiat kepada-Mu.

Saat berkumur-kumur, ucapkan:
Ya Allah, tolonglah aku, supaya aku tetap berzikir mengingat Engkau dan bersyukur.

Saat membersihkan air ke hidung, ucapkan:
Ya Allah, ciumkanlah oleh-Mu untukku akan wangi-wangian syurga.

Saat membasuh muka, ucapkan:
Ya Allah, putihkanlah wajahku pada hari diputihkannya wajah manusia dan dihitamkan wajah setengahnya.

Dikala membasuh tangan kanan, ucapkan:
Ya Tuhan, berikanlah (kelak) suratan amalku pada tangan kananku, dan beri hisablah ia dengan penghisaban yang sedikit.

Dikala membasuh tangan kiri, ucapkan:
Ya Allah, janganlah Engkau berikan suratan amalku pada tangan kiriku dan jangan dari belakangku.

Dikala membasuh kepala, ucapkan:
Ya Allah, jauhkanlah rambut dan kulit badanku dari api neraka.

Tatkala menyapu dua telinga, ucapkan:
Ya Allah, jadikanlah aku seperti mereka yang mendengar kata-kata yang baik, dan mengikuti akan mereka yang sebaik-baiknya.

Tatkala membasuh kedua kaki, ucapkan:
Ya Allah, tetapkanlah kiranya kedua kakiku di atas titian pada hari yang banyak tergelincir kaki manusia.
SELAMAT BERAMAL!!

Sabtu, 9 Januari 2010

MAKNA BATIN PENYEMPURNA SOLAT





Makna-makna batin yang mesti wujud bagi menyempurnakan kehidupan solat, mengikut pandangan Imam Ghazali, terhimpun di dalam enam perkara, iaitu hudur al-qalb (kehadiran hati), tafahhum (usaha memahami bacaan dan perbuatan), ta'zim (mengagungkan) , haibah (takut yang timbul daripada perasaan hormat atau mengagungkan) , raja'(harap) , dan haya'(malu).

Hudur al-qalb

Yang dimaksud dengan hudur al-qalb ialah mengosongkan hati daripada selain yang kita sedang lakukan dan ucapkan, sehingga kita mengetahui apa yang kita lakukan dan apa yang kita ucapkan dan fikiran, kita tidak berkeliaran kepada selain keduanya. Selama fikiran kita berpaling daripada selain keduanya dan dalam hati kita tidak ada selain ingatan terhadap apa yang sedang kita hadapi dan tidak ada sebarang kelalaian terhadap setiap sesuatu, maka tercapailah dengannya kehadiran hati. Faktor utama bagi kehadiran hati adalah himmah, iaitu minat, keinginan atau perhatian, kerana hati seseorang akan menjadi perhatiannya. Jika seseorang berminat pada sesuatu atau mengingini sesuatu atau menaroh perhatian pada sesuatu, maka hatinya akan hadir padanya, sama ada ia kehendaki atau tidak, sebab hati dijadikan bertabiat demikian.

Apabila hati kita tidak hadir dalam solat, maka ia tidak menganggur, tetapi berkeliaran ke berbagai macam urusan dunia yang diminati atau menjadi perhatian utamanya. Maka tidak ada cara untuk menghadirkan hati kita kepada solat, melainkan dengan memalingkan minat dan perhatian kita kepada solat. Minat atau perhatian kita tidak akan terpaling kepada solat selama belum jelas bahawa tujuan yang dicari bergantung kepadanya. Yang demikian adalah keimanan dan kepercayaan bahawa akhirat itu lebih baik dan lebih berkekalan daripada dunia, dan bahawa solat merupakan sarana untuk mencapainya. Jika perkara ini didukung oleh hakikat pengetahuan tentang betapa tidak berharganya dunia dan betapa sedikit kepentingannya jika dibanding dengan akhirat, maka akan tercapailah daripada keseluruhannya kehadiran hati dalam solat.

Jika dengan sebab seperti ini, hati anda boleh hadir bila anda berada di hadapan orang besar atau raja yang tidak berkuasa menimpakan bahaya atau memberi manfaat kepada anda, dan tidak boleh hadir pada waktu anda bermunajat di hadapan Maha Diraja, Yang ditanganNya segala kerajaan, kekuasaan, manfaat dan bahaya, maka janganlah anda menyangka bahawa hal tersebut memiliki sebab lain selain daripada kelemahan iman.

Oleh sebab itu, berjuanglah anda untuk memperkuat keimanan anda yang lemah tersebut.

Tafahhum

Tafahhum atau memahami makna ucapan merupakan perkara di luar kehadiran hati. Boleh jadi hati hadir bersama lafaz yang diucapkan, tetapi tidak bersama makna lafaz tersebut. Kehadiran hati bersama pengertian tentang makna lafaz yang diucapkan inilah yang dimaksud dengan tafahhum.

Dalam kefahaman ini manusia berbeza-beza, kerana mereka tidak sama dalam memahami makna-makna yang terkandung di dalam Al-Qur'an dan berbagai tasbih. Bahkan kefahaman seseorang itu sendiri berbeza dari semasa ke semasa. Berapa banyak makna-makna yang halus yang difahami oleh seseorang yang sedang menunaikan solat, padahal sebelumnya tidak pernah terlintas di dalam hatinya. Melalui kefahaman terhadap makna-makna yang terkandung di dalam bacaan inilah solat mencegah orang-orang yang menunaikannya daripada segala perkara yang keji dan mungkar. Faktor penyebab timbulnya tafahhum, setelah kehadiran hati, ialah sentiasa berfikir dan mengarahkan fikiran ke arah usaha untuk mengetahui dan memahami makna. Usaha menimbulkan tafahhum ialah dengan menghadirkan hati beserta menghalakan pemikiran ke arah memahami makna lafaz yang dibaca dan usaha menolak berbagai lintasan fikiran yang liar.

Cara menolak lintasan fikiran yang menyibukkan ialah dengan memutuskan atau memotong berbagai perkara yang boleh menjadi bahan pemikiran, yakni menjauhkan diri daripada sebab-sebab yang membuat fikiran tertarik kepadanya. Jika perkara-perkara yang menjadi bahan fikiran itu tidak dilenyapkan, maka fikiran tidak akan dapat dipalingkan daripadanya. Sesiapa yang mencintai sesuatu, maka ia pasti banyak mengingatinya, dan ingatan itu pula pasti akan melanda hatinya. Oleh sebab itu, maka kita melihat bahawa orang yang mencintai selain Allah, solatnya tidak akan terhidar daripada berbagai lintasan fikiran yang liar.

Ta'zim

Ta'zim juga merupakan perkara di luar kehadiran hati dan kefahaman, kerana seseorang mungkin mengatakan kepada hamba sahayanya perkataan-perkataan yang ia fahami maknanya dengan kehadiran hati, tetapi ia tidak mengagungkannya, ertinya tanpa ta'zim. Jadi ta'zim adalah tambahan ke atas keduanya. Ta'zim ini merupakan keadaan hati yang lahir daripada dua makrifat:

Pertama: Makrifat akan kemuliaan dan keagungan Allah, yang merupakan salah satu asas keimanan. Sesiapa yang tidak diyakini keagungannya, maka jiwa tidak mahu mengagungkannya.

Kedua: Makrifat akan kehinaan diri dan kedudukannya sebagai hamba yang tidak memiliki sebarang kekuasaan.

Daripada kedua makrifat tersebut lahirlah perasaan istikanah (yakni pasrah dan merendah diri), inkisar (lemah, tidak terdaya) dan khusyu' kepada Allah, yang diungkapkan dengan perkataan ta'zim. Selama kedua makrifat tersebut belum wujud, maka tidak akan timbul keadaan ta'zim dan khusyu'.

Seseorang yang merasakan kecukupan, tidak memerlukan pihak lain dan merasa aman atas dirinya mungkin mengetahui sifat-sifat keagungan pihak lain, tetapi pada dirinya tidak ada perasaan khusyu' dan ta'zim, kerana makrifatnya akan keagungan pihak lain tersebut tidak disertai oleh makrifat lain, iaitu makrifat kehinaan dirinya dan kedudukannya sebagai hamba yang tidak memiliki sebarang kekuasaan.

Haibah

Haibah adalah tambahan ke atas ta'zim, bahkan ia merupakan perasaan takut yang berpunca daripada ta'zim, kerana orang yang tidak takut tidak dapat dikatakan ha'ib. Perasaan takut kepada kala atau ular atau kejahatan seseorang atau yang seumpamanya daripada sebab-sebab yang hina tidak dinamakan haibah, kerana haibah adalah perasaan takut yang berpunca daripada sikap atau perasaan mengagungkan.

Haibah dan khawf adalah keadaan jiwa yang timbul daripada makrifat akan kekuasaan Allah, akan pengaruh dan berlakunya segala kehendaknya ke atas dirinya, dan pengetahuannya bahawa sekiranya Allah membinasakan seluruh manusia, yang dahulu maupun yang kemudian, maka yang demikian itu tidak akan mengurangi kerajaanNya sedikitpun juga. Yang demikian, di samping mengetahui akan segala yang berlaku ke atas para nabi dan para Wali, daripada berbagai musibah dan bermacam-macam ujian, meskipun Allah SWT Maha Kuasa untuk menolaknya. Berbeza dengan keadaan yang disaksikan daripada raja-raja dunia.

Kesimpulannya, semakin bertambah ilmunya tentang Allah, maka semakin bertambahlah rasa takut dan haibahnya kepadaNya.

Raja'

Raja' atau harap pula merupakan tambahan. Beberapa banyak orang yang mengagungkan seseorang raja yang ditakuti, kebaikannya. Seorang hamba adalah sudah selayaknya mengharapkan dengan solatnya ganjaran daripada Allah swt, sebagaimana ia takut bila mencuaikannya akan seksaanNya.

Faktor penyebab timbulnya raja' adalah makrifat akan kelembutan, kedermawanan, keluasan ni'mat, keindahan ciptaan, dan pengetahuan akan kebenaran segala janji Allah swt., khususnya janji Syurga bagi orang-orang yang menunaikan solat. Jika telah wujud keyakinan akan kebenaran janjiNya dan pengetahuan akan kelembutanNya, maka timbullah raja.

Haya'

Haya' merupakan tambahan bagi semua perkara di atas, kerana ia timbul daripada perasaan melakukan kecuaian dan perasaan berdosa. Mungkin sahaja pada seseorang terdapat kesemua yang lain, yakni ta'zim, haibah, raja dan lain-lainnya, tetapi tidak ada padanya haya', kerana tidak ada padanya perasaan melakukan sebarang kecuaian ataupun melakukan sebarang perbuatan dosa.

Maka perasaan haya' ini hanya akan muncul dengan adanya perasaan kekurangan, atau kecuaian dalam ibadat, dan mengetahui akan ketidak mampuan diri untuk mengagungkan Allah sepenuh hakNya. Dan perasaan tersebut menjadi lebih kuat lagi dengan mengetahui akan kecacatan diri, kekurangan ikhlasnya, keburukan batin dan kecenderungannya kepada memperoleh keuntungan yang segera dalam segala amal perbuatannya, di samping mengetahui akan besarnya konsekuensi yang dituntut kebesaran Allah, dan bahawa Dia Maha Mengetahui akan segala rahasia dan lintasan hati sehingga kepada yang sekecil-kecilnya. Semua pengetahuan ini jika telah diperoleh secara yakin, pasti akan menimbulkan suatu keadaan yang dinamakan haya'(malu).

Inilah sifat-sifat atau makna-makna batin yang mesti wujud bagi menyempurnakan kehidupan solat, dan faktor-faktor penyebabnya. Setiap perkara yang dituntut memperolehnya, maka caranya adalah dengan menghadirkan faktor penyebabnya. Dengan mengetahui faktor penyebabnya, maka kita akan mengetahui cara mewujudkannya. Penghubung kesemua sebab-sebab tersebut adalah keimanan dan keyakinan. Kekhusyu'an hati adalah mengikut kadar keyakinan, dalam erti semakin tinggi kadar keyakinan seseorang, maka semakin tinggi pula kadar kekhusyu'annya.

Dengan melihat kepada perbezaan makna-makna yang telah disebutkan di dalam hati, maka manusia terbahagi kepada orang yang lalai yang menyempurnakan solatnya tanpa kehadiran hatinya, walau sesaatpun; dan orang yang menyempurnakan solatnya dan hatinya tidak lalai walaupun sesaat, seluruh perhatiannya tertumpu pada solatnya, sehingga ia tidak menyedari apa yang berlaku di hadapannya, bahkan ada sekumpulan manusia yang wajah mereka menjadi pucat dan sendi-sendinya menggeletar.

Bahagian tiap orang daripada solatnya adalah mengikut kadar kekhusyu'an, pengagungan, perasaan takut dan lain-lainnya daripada makna-makna tersebut, kerana yang menjadi tempat perhatian Allah swt adalah hati, bukan gerakan anggota badan yang nampak. Pada hari kiamat nanti, tidak ada yang selamat melainkan orang yang datang menemui Allah swt dengan hati yang selamat.

Usaha Menghadirkan Hati Dalam Solat

Seorang mukmin, di samping beriman, ia juga tidak terlepas daripada keadaan mengagungkan Allah swt, takut, menaruh harapan, dan merasa malu kepadaNya atas kecuaian dan kekurangannya. Meskipun kekuatan keadaan tersebut bergantung kepada kadar kekuatan keyakinannya, tetapi terlepasnya dirinya daripada keadaan tersebut dalam solat tidak mempunyai sebab lain selain daripada berpencarnya fikiran, bercawangnya lintasan, ketidak hadiran hati pada munajat dan kelalaian daripada solat.

Tidak ada yang melalaikan seseorang daripada solat selain lintasan-lintasan yang mendatang yang menyibukkan atau mengganggunya. Tidak ada cara untuk menghadirkan hati melainkan dengan jalan menolak atau mengusir lintasan-lintasan tersebut. Sesuatu tidak dapat ditolak atau diusir melainkan dengan menolak atau mengusir sebab-sebabnya. Oleh sebab itu, hendaklah ia mengetahui sebab-sebabnya. Sebab datangnya lintasan-lintasan tersebut sama ada merupakan perkara yang datang dari luar, atau pun perkara yang datang dari dalam dirinya sendiri.

Yang datang dari luar, sama ada yang mengetuk telinga atau nampak bagi penglihatan, yang meragut perhatian, sehingga mengikutnya dan hanyut terbawa olehnya, kemudian fikirannya pun terseret kepada perkara-perkara lainnya secara berantai. Penglihatan menjadi sebab pemikiran, kemudian sebahagian daripada pemikiran-pemikiran tersebut menjadi sebab bagi sebahagian yang lainnya. Orang yang kuat niatnya dan tinggi minat atau perhatiannya, segala yang berlaku pada pancainderanya tidak akan membuatnya lalai. Tetapi orang yang lemah, fikirannya pasti akan berpencar kerananya.

Mengatasinya adalah dengan memutuskan atau menghalang sebab-sebab tersebut dengan memejamkan penglihatan, solat di tempat yang gelap, tidak membiarkan sesuatu yang boleh menyibukkan perasaannya berada di hadapannya, solat dekat dinding agar tidak luas jarak penglihatan, dan menghindari solat di tepi atau menghadap ke jalan, atau solat di tempat-tempat yang penuh dengan perhiasan, atau diatas permaidani yang berwarna-warni, apalagi yang dilukis dengan bermacam-macam lukisan.

Oleh kerana itulah, maka para ahli ibadat beribadat di dalam ruangan yang kecil atau sempit, supaya lebih dapat menumpukan perhatian. Orang-orang yang kuat daripada kalangan mereka meghadiri masjid-masjid dan menundukkan pandangan dan tidak melampaui pandangan mereka dari tempat sujud. Mereka berpendapat bahawa daripada kesempurnaan solat adalah bahawa kita tidak mengetahui siapa di sebelah kanan dan kiri kita. Ibnu Umar r.a. tidak membiarkan di tempat solatnya ada sebarang mushaf atau pedang melainkan beliau menyingkirkannya, dan tidak ada sebarang tulisan melainkan beliau menghapusnya.

Adapun sebab-sebab batin yang datang dari dalam diri kita sendiri, maka ia lebih susah mengatasinya. Sesungguhnya orang yang memiliki obsesi yang bercawang-cawang di lembah-lembah dunia, fikirannya tidak tertumpu pada satu aspek sahaja, tetapi sentiasa berkeliaran dari satu aspek ke aspek lain, sehingga menundukkan atau memejamkan pandangan tidak lagi berguna baginya. Apa yang telah bersemayam di dalam hati sebelumnya telah cukup menyibukkannya.

Cara mengatasinya adalah dengan menarik jiwa secara paksa untuk memahami apa yang dibaca di dalam solat dan menyibukkannya dengannya sehingga melupakan yang lainnya. Perkara lain yang boleh membantunya ialah mempersiapkan diri sebelum takbirat al-ihram dengan memperbaharui ingatan akan akhirat, kedudukan munajat dan pentingnya berdiri di hadapan Allah swt Yang Maha Melihat, di samping mengosongkan hatinya daripada perkara yang boleh menarik perhatiannya sebelum takbiraat al-ihram.

Rasulullah saw bersabda kepada Usman Bin Talhah:

Maksudnya: "Aku lupa mengatakan kepadamu supaya engkau menutup periuk yang ada di rumah. Sesungguhnya tidak semestinya di dalam rumah ada sesuatu yang boleh melalaikan manusia daripada solatnya".

Ini merupakan salah satu cara menenangkan fikiran. Apabila gelora fikirannya tidak dapat ditenangkan dengan cara ini, maka tidak ada yang dapat menyelamatkannya melainkan dengan menumpas atau mencabut materi penyakit dari akar umbinya, iaitu dengan melihat kepada perkara-perkara yang menghalang usaha menghadirkan hati. Tidak syak lagi bahawa yang demikian kembali kepada berbagai perkara yang diminati, yang telah menjadi perhatian utama bagi syahwatnya, maka ia menghukum jiwanya dengan melepaskan diri daripada syahwat-syahwat tersebut dan memutuskan berbagai ikatannya.

Setiap perkara yang melalaikan seseorang daripada solatnya membahayakan agamanya dan merupakan tentera Iblis, musuhnya; maka memegangnya lebih berbahaya daripada membuangnya. Oleh sebab itu, ia hanya dapat melepaskan dirinya daripadanya dengan membuangnya, sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Hisyam Bin Urwah, daripada bapanya, daripada Aisyah r.a. bahawa beliau berkata:

"Nabi SAW mempunyai khamisah (pakaian daripada wool yang padanya terdapat lukisan), maka baginda memberikannya kepada Abu Jahmah dan mengambil sebagai gantinya anbijaniyahnya (pakaian daripada wool yang paling kasar dan paling rendah mutunya). Mereka berkata: Wahai Rasulullah, khamisah lebih baik daripada anbijaniyah.

Baginda saw bersabda: Aku melihat lukisannya dalam solat".

Hadis tersebut juga diriwayatkan oleh Imam Malik daripada Hisyam Bin Urwah, daripada bapanya, tidak melalui Aisyah r.a.

Nasai dan Ahmad meriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a. bahawa beliau berkata:

"Bahawa Rasulullah saw mengambil sebentuk cincin dan memakainya. Kemudian baginda bersabda: Cincin ini, sejak hari ini, telah melalaikan aku daripada kamu, sekejap aku melihat kepadanya dan sekejap aku melihat kepadamu. Kemudian baginda membuangnya" .

Diriwayatkan bahawa baginda saw telah memerintah menggantikan tali terompahnya dengan yang baru. Kemudian baginda saw tergerak hatinya untuk melihatnya dalam solatnya, kerana barunya. Maka baginda pun memerintahkan supaya menggantikannya dengan tali yang lama kembali.

Diriwayatkan bahawa Abu Talhah menunaikan solat di dalam kebunnya, maka tiba-tiba beliau tertarik dengan seekor binatang yang terbang di atas pokok mencari jalan keluar. Beliau mengikutinya dengan pandangannya, kemudiannya beliau terlupa berapa rakaat beliau telah solat? Beliau pun menceritakan fitnah yang terjadi pada dirinya kepada Rasulullah saw, dan beliau berkata: "Kebun itu aku sedekahkan, aturlah mengikut kehendak tuan hamba".

Demikianlah mereka bertindak untuk memutuskan perkara yang menjadi bahan pemikiran, selain juga sebagai kesempurnaan solat. Itulah ubat yang mujarab bagi penyakit tersebut dan tidak ada ubat lainnya yang bermanfaat.

Adapun ubat penenang dan ajakan memahami zikir yang dibaca, maka ia hanya bermanfaat untuk mengatasi syahwat yang lemah dan keinginan atau minat yang tidak menyibukkan kecuali pinggiran hati. Adapun syahwat yang kuat yang bergelora, ubat penenang tidak berguna dan ia akan terus menariknya dan terus menarik anda, kemudian mengalahkan anda sehingga musnah seluruh solat anda dalam usaha tarik menarik. Walaupun demikian, anda tidak boleh meninggalkan mujahadah atau berhenti berusaha untuk mengembalikan hati kepada solat dan mengurangi sebab-sebab yang melalaikan.

Itulah ubat yang pahit, dan kerana pahitnya dianggap buruk oleh tabiat, sehingga penyakit yang ada menjadi kronik dan sukar disembuhkan.
Dipetik daripada buku Pejalanan Rabbani, Merentasi Alam Dunia, Barzakh dan Akhirat karangan Prof Madya Dr Musa bin Fathullah Harun

Selasa, 5 Januari 2010

Berpakaian Tetapi Telanjang




Dewasa ini,ramai di antara wanita-wanita dan anak-anak gadis kita sudah tidak mengenal yang mana dosa yang mana pahala.Hal ini kerana kurangnya didikan agama dan ada juga yang langsung jahil dalam bab agama.Disebabkan kejahilan inilah ramai wanita-wanita dan anak-anak gadis kini sudah tidak mengenal yang manakah pakaian yang dibolehkan dan dilarang dalam Islam di mana kebanyakan mereka gemar memakai baju dan seluar yang kecil dan sendat dan adakalanya jarang sehingga menampakkan susuk badan mereka tidak kira sama ada yang bertudung atau tidak bertudung .Bagi yang tidak bertudung mungkin kita klasifikasikan mereka sebagai orang yang jahil dalam agama, namun bagi yang bertudung sudah tentu merosakkan imej wanita Islam yang sebenar iaitu yang menurut syariat Islam.

Situasi inilah yang dikatakan berpakaian tetapi telanjang sehinggakan cara berpakaian begini telah dilabelkan sebagai pakaian moden bagi wanita Islam yang kononnya seiring dengan kemajuan yang dicipta mengikut acuan barat atau hawa nafsu kekafiran.Malah daripada cara berpakaian yang salah inilah telah meyebabkan berlakunya gejala sosial yang kini semakin meluas dan semakin sukar untuk dibendung.Situasi inilah yang amat dibimbangi kini kerana mangsa-mangsa yang terjerumus ke dalam kancah yang tidak sihat ini adalah kebanyakannya merupakan daripada golongan wanita-wanita dan juga anak-anak gadis yang bertudung iaitu yang berpakaian tetapi telanjang .

Sesungguhnya pada zaman yang dianggap sebagai moden dan bertamadun kini, soal berpakaian atau menutup aurat ini semakin dilupakan.Kewajipannya semakin diabaikan, malah ada yang menganggap berpakaian dengan menutup aurat seperti mengenakan tudung ini adalah salah satu fesyen atau trend bagi wanita alaf baru ini.Jadi bagi mereka, tidak ada rasa berdosa kalau tidak mengenakan tudung sekalipun.Oleh sebab itu tidak sedikit juga daripada golongan wanita kini yang memandang remeh atau mudah pemakaian tudung untuk menutup aurat ini sehinggakan ada yang berpendirian ‘hendak pakai tudung pun tak apa, tak pakai tudung pun tak apa’.

Selain itu , sekian banyak remaja yang mengaku beragama Islam tetapi cara berpakaiannya sama seperti orang kafir malah ada yang berani berkata ‘cara berpakaian itu adalah hak peribadinya’ sedangkan cara mendedah aurat itu sebenarnya adalah budaya jahiliah bukannya tamadun yang ke hadapan tetapi kembali ke belakang iaitu menurut jejak-jejak orang sebelum didatangkan Rasul bagi mereka padahal berpakaian yang menutup aurat itulah yang ke hadapan iaitu pakaian bagi orang yang telah menerima syariat dan tunduk kepada Allah s.w.t.

Firman Allah :
Tidak sepatutnya bagi lelaki yang beriman dan perempuan yang beriman apabila Allah dan RasulNya memutuskan suatu urusan, mereka memilih urusan mereka sendiri. Dan sesiapa yang menderhakai Allah dan RasulNya, maka dia telah sesat (dalam) kesesatan yang nyata. Surah Al-Ahzab ayat 36 [33:36]

Manakala bagi wanita-wanita serta anak gadis yang menutup aurat dengan cara berpakaian ketat sehingga menampakkan susuk tubuhnya, tidak boleh dianggap perlakuan yang ringan sewenang-wenangnya kerana sabda Rasulullah saw :
Diterima dari Abu Hurairah, katanya : Telah bersabda Rasulullah saw : “ Ada dua golongan penghuni neraka yang tidak pernah saya lihat, suatu kaum yang membawa cambuk-cambuk (cemeti) seperti ekor-ekor sapi yang mereka pukulkan kepada manusia, dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi telanjang, mempengaruhi orang dan menarik ke jalannya, kepala mereka laksana punuk unta yang miring letaknya(sanggul di kepala).Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan menemukan harum baunya...” Riwayat Muslim

Dijelaskan bahawa perbuatan memakai pakaian yang ketat sehingga menampakkan susuk tubuh atau wanita yang berpakaian tipis sehingga menampakkan kulitnya itu ibarat orang yang berpakain tetapi telanjang dan pakaian itu pula menarik anak gadis atau remaja lainnya untuk meniru gaya yang demikian, maka bagi wanita yang berpakaian serta bersifat seperti hadis di atas dinyatakan mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan dapat mencium walaupun hanya bau dari syurga.Hadis yang memperingatkan kita tentang bahaya dari cara berpakaian yang telah dilakukan oleh sekian banyak remaja kita sekarang.

Oleh sebab itu, sebagai ibubapa adalah wajib bagi kita menyampaikan atau menegur anak-anak kita jika berkelakuan demikian dan membimbing mereka ke jalan yang benar dan jangan sekali-kali menganggap azab neraka itu boleh dibuat mudah dan dibiarkan peringatan daripada hadis itu berlalu begitu sahaja.Untuk itu kita renungkan sepotong hadis di bawah.

Telah berkata Syafiyah binti Syaibah : “Di waktu kami bersama-sama Aisyah mereka sebut wanita-wanita Quraisy dan kelebihan mereka.” Maka Aisyah berkata : Sesungguhnya wanita-wanita Quraisy itu mempunyai kelebihan, tetapi sesungguhnya aku, demi Allah, tidak aku lihat yang lebih mulia dari wanita-wanita Anshar, sangat-sangat mereka mrmbenarkan kitab Allah dan sangat kuat iman mereka kepada wahyu yang diturunkan.Waktu diturunkan surah An Nur,(ayat yang menyuruh bertudung iaitu ayat 31), lelaki mereka pulang, lalu membacakan kepada mereka apa yang diturunkan oleh Allah itu, lantas tiap-tiap seorang daripada wanita-wanita mereka mengambil kain mereka yang berlukis, lalu mereka jadikan tudung kepala kerana membenarkan dan percaya kepada apa yang diturunkan oleh Allah dari kitabNya..” Riwayat Abu Daud

Inilah satu kisah yang patut diambil sebagai teladan atau contoh di mana para suami sepatutnya memainkan peranan menyampaikan perintah Allah dan RasulNya kepada anak isteri dan adalah kewajipan seorang isteri untuk mentaati ajaran yang benar yang dibawa oleh para suami demikian juga anak-anak jagaannya.Menolak satu dakwah yang asalnya dari Allah dan RasulNya adalah satu kederhakaan yang besar, iaitu derhaka kepada Allah dan Rasul dan juga derhaka kepada suami atau bapa yang menjalankan tanggungjawabnya.Manakala bagi seorang bapa atau suami yang tidak bertanggungjawab yang membiarkan kehidupan keluarganya tanpa bimbingan maka kegagalannya itu akan dipertanggungjawabkan kepadanya sebagaimana sabda Rasulullah saw :

Tiap-tiap seorang daripada kamu itu pemimpin dan tiap-tiap seorang daripada kamu bertanggungjawab akan pimpinannya, imam/pemimpin itu adalah pengurus dan bertanggungjawab terhadap pimpinannya, lelaki itu pemimpin pada ahlinya (anak isterinya) dan dia bertanggungjawab terhadap pimpinannya, perempuan itu pemimipin di rumah suaminya dan dia bertanggungjawab atas pimpinannya, khadam itu pemimpin pada harta tuannya dan dia bertanggungjawab atas pimpinannya dan setiap kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab pada pimpinannya. Riwayat Bukhari

Isnin, 4 Januari 2010

JANGAN KETINGGALAN..TEMUDUGA TERBUKA

TEMUDUGA TERBUKA!!!

Photobucket

SEMUA AKAN DIKEHENDAKI HADIR TANPA SEBARANG PENGECUALIAN


KEKOSONGAN JAWATAN:
A. Ahli Syurga Dari Awal.
B. Ahli Neraka Dari Awal.
C. Ahli Neraka Sementara Kemudian Akan Dilantik Jadi Ahli Syurga.

EMPAT GANJARAN LUMAYAN (khas untuk jawatan A):
1. Nikmat kubur.
2. Perlindungan di Padang Mahsyar.
3. Keselamatan Meniti Titian Sirat.
4. Syurga yang kekal abadi.

TARIKH TEMUDUGA:
Bila-bila masa secara adhoc bermula dari saat membaca iklan ini.

LOKASI TEMUDUGA:
Di dalam kubur (alam barzakh).

KELAYAKAN:
Anda tidak perlu bawa siji-sijil,termasuk sijil saham termasuk saham Internet.
Anda tidak perlu bawa pingat , Mercedes mata belalang atau kad kredit.
Anda tidak perlu bawa wang atau harta serta emas yang anda kumpul.
Anda tidak perlu berparas rupa yg cantik, hensem atau berbadan tegap atau seksi.
Sila bawa dokumen asal iaitu : Iman dan Amal serta sedekah jariah sebagai sokongan.

PANEL/PENEMUDUGA:
Mungkar dan Nakir.

ENAM SOALAN BOCOR:
1. Siapa Tuhan anda?
2. Apa Agama anda?
3. Siapa Nabi anda?
4. Apa Kitab anda?
5. Di mana Kiblat anda?
6. Siapa Saudara anda?

CARA MEMOHON:
Anda cuma perlu menunggu penjemput yang berkaliber untuk menjemput anda. Ia akan menjemput anda pada bila-bila masa saja (mungkin sekejap lagi). Ia akan berlembut kepada orang-orang tertentu dan akan bengis kepada orang-orang tertentu.

Ia diberi nama Izrail.

TIPS UNTUK BERJAYA DALAM TEMUDUGA TERTUTUP INI:
Hadis Hasan yang diriwayatkan oleh Ahmad Hanbal, yang bermaksud begini:
Sila war-warkan tawaran jawatan kosong ini kepada semua sahabat.
Wallah hualam..semuga berjaya dalam temuduga ini...