Khamis, 18 Februari 2010

ASMA’ BINTU YAZID BIN AS-SAKAN AL-ANSHARIYAH R.A


ASMA’ BINTU YAZID BIN AS-SAKAN AL-ANSHARIYAH R.A

Sirah istimewa ini adalah milik salah seorang wanita suci dan menjadi contoh ideal dalam iman, ilmu dan kesabarannya. Beliau memeluk Islam bersama para wanita yang terdahulu beriman kepada Allah dan RasulNya, dari kalangan Anshar melalui sentuhan dakwah Mushab bin Umair, bermula di perkampungan Anshar yang paling baik, Bani Abdul Ashal, iaitu perkampungan seorang sahabat, Saad bin Muadz Radiallahu Anhu yang keislamannya menjadi barakah bagi kaumnya. Diriwayatkan bahawa pada petang hari beliau memeluk Islam, tiada seorang lelaki atau wanita pun di tengah-tengah Bani Abdul Ashyal melainkan telah menjadi muslim dan muslimat.

Ibnu Hajar memperkenalkan sahabiyyah ini dengan ungkapan yang baik dengan berkata,” Dialah Asma’ bintu Yazid bin As-Sakan bin Rafi’ bin Imru’ul-Qais Al-Anshariyyah Al-Ausiyah. Beliau biasa dikenali dengan sebutan Ummu Salamah dan terkadang Ummu Amir, termasuk wanita yang berbaiat dan mujahidah, yang hidup pada permulaan Islam di Madinah, beroleh keuntungan menjadi sahabat Rasulullah SAW dan memperolehi keredhaan Allah dan RasulNya.”

Asma’ bintu Yazid Radiallahu anha termasuk di antara wanita yang terawal menerima Islam di kalangan kaum Ansar. Amr bin Qatadah Radiallahu anhu berkata, “Wanita yang pertama kali berbaiat kepada Rasulullah ialah Ummu Saad bin Muadz, Kabsyah bintu Rafi’, Ummu Amir bintu Yazid bin As-Sakan dan Hawa’ bintu Yazid bin As-Sakan” (Ad-Durrul-Manstur, 8/143; Ath-Thabaqat, 8/12).

Sahabiyyah ini memiliki keutamaan dari segi ketajaman akal, agama yang teguh, keberanian, ketegaran, kesabaran dan termasuk di antara wanita yang meriwayatkan hadith Nabawi yang mulia.

KELEBIHAN-KELEBIHAN ASMA’ BINTU YAZID

Sahabiyyah yang mulia ini memperolehi kesaksian kefasihan dari para sahabat. Beliau dikenali sebagai wanita yang memiliki kehebatan hujjah dan daya pikat di dalam ucapan-ucapan beliau. Kelebihan ini ditambah lagi dengan keilmuannya terhadap isi kandungan Al-Quranul Karim dan hadith Nabawi. Atas sebab itulah, beliau memperolehi gelaran istimewa di kalangan para wanita kaum Ansar sebagai Khatibatun- Nisa’ (jurubicara kaum wanita). Beliaulah yang menjadi utusan para wanita untuk menemui Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam. Beliau juga berbaiat kepada Baginda, mendengar sendiri hadith nabawi dan menyampaikan ilmu-ilmu yang diperolehinya dari Rasulullah melalui ucapan-ucapannya yang berkesan kerana kecerdasannya, keelokan bahasa dan susunan kata-katanya. Para penulis biografi serikandi ini meriwayatkan ucapan-ucapan Asma’ yang mengagumkan, menyentuh perasaan, memukau dan mencetuskan kesedaran kepada orang-orang yang mendengarnya.

Asma’ juga dikenali sebagai salah seorang sahabiyah yang paling mendalam ilmu dan agamanya. Hal ini diakui oleh Ibnu Abdil-Barr Rahimahullah yang menyebutkan, “Dia (Asma’) termasuk wanita yang paling cerdas akalnya dan kuat agamanya” (Al-Isti’ab, 4/233). Dua kelebihan ini, akal dan agama, menjadikan beliau termasuk wanita yang bijaksana di madrasah nubuwwah serta menjadi rujukan di kalangan wanita Ansar. Beliau terkenal sebagai seorang murid yang sentiasa bersungguh-sungguh mendapatkan penjelasan hukum-hukum dalam urusan agama, sehinggakan beliau tidak pernah merasa malu untuk bertanya soalan kepada Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam. Salah satu pertanyaan Asma ini diriwayatkan oleh Al-Akhthib Al-Baghdady Rahimahullah, yang menceritakan, “Asma’ bintu Yazid bertanya kepada Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam cara untuk mandi junub selesai haid. Maka baginda menjawab, ‘Hendaklah engkau mengambil daum sidrah yang direndam air, lalu engkau membasuh kepala dan engkau dapat menggosoknya dengan gosokan yang keras sehingga air mengenai seluruh bahagian dari kepala sehingga ke seluruh badan. Kemudian, hendaklah engkau mengambil cebisan kain yang diberi minyak wangi, lalu engkau bersuci dengannya’. Asma’ kemudian bertanya lagi, ‘Bagaimana caraku bersuci dengannya?’. Rasulullah SAW kemudian bersabda, ‘SubhanaLlah! Yang penting engkau bersuci’. Aisyah Radiallahu anha member isyarat kepada Asma’ yang bermaksud ‘ertinya engkau harus mencari bekas-bekas darah’ (Al-Asma’ Al-Mubhamah fil-Anba’ Al-Muhkamah, hal. 68)

Di atas kesungguhan yang ditunjukkan oleh Asma’ ini, Ummul Mukminin Aisyah Radiallahu anha memberikan pujian kepada para wanita Ansar, dengan berkata, “Sebaik-baik wanita adalah wanita Ansar, yang tidak terhalang oleh rasa malu untuk menanyakan masalah agama dan memahaminya”

ASMA’ DAN HUKUM AL-QURAN

Sahabiyah yang mulia ini memiliki sejarah yang tersendiri yang diselitkan di dalam isi Al-Quran. Abu Daud, Ibnu Hatim dan Al-Baihaqi meriwayatkan di dalam sunannya dari Asma’ bintu Yazid dengan berkata,”Aku ditalak pada zaman Rasulullah SAW, yang pada ketika itu belum ada lagi ketetapan iddah bagi wanita yang ditalak. Maka, ketika itulah Allah menurunkan ayat iddah kerana talak, ‘Dan wanita-wanita yang ditalak hendaklah menunggu hingga tiga kalu quru’ (Al-Baqarah:228). Inilah merupakan ayat pertama yang turun tentang iddah bagi wanita yang ditalak” (Tahdzibut-Tahdzib, 12/339; Siyar Alamin Nubala, 2/297; Alamun Nisa’)

Ini merupakan kemuliaan yang diberikan oleh Allah Subhanah wa taala kepada wanita secara umum, dan bagi Asma’ secara khusus.

ASMA’ DAN HADIS NABAWI

Di antara kelebihan utama Asma’ bintu Yazid ialah hafalan dan pemahamannya tentang hadis-hadis Nabawi serta periwayatannya. Beliau meriwayatkan 81 hadis dari Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam, yang diriwayatkan oleh Abu Daud, At-Tirmidzi dan Ibnu Majah. Adapun yang meriwayatkan darinya ialah maulanya Muhaji bin Abu Muslim, Ayahr bin Hausyab, anak saudaranya, Mahmud bin Amr Al-Anshary dan lain-lain.

Ini menjadikan Asma’ sebagai antara wanita muslimah yang paling banyak meriwayatkan hadis Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam, setelah Aisyah dan Ummu Salamah radiallahu anhuma.

ASMA’ DAN PERJALANAN JIHADNYA

Keluarga As-Sakan memiliki sejarah gemilang sebagai kelompok syuhada’ yang menorehkan tinta emas di medan Uhud. Ayah Asma’ adalah Yazid bin As-Sakan Al-Anshary, yang gugur syahid bersama anaknya, Amir bin Yazid. Bapa saudara Asma’, Ziyad bin As-Sakan Al-Anshary, adalah salah seorang pahlawan penunggang kuda yang menjual dirinya bagi Allah dan RasulNya sehingga beliau turut sama gugur di dalam Perang Uhud.

Asma’ bintu Yazid sendiri pernah bergabung bersama pasukan kaum Muslimin semasa Perang Khandaq di mana beliau berperanan mengirimkan makanan kepada Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Beliau juga pergi bersama ke Hudaibiyah dan terlibat di dalam Baiat Ar-Ridhwan, selain turut serta di dalam Perang Khaibar.

Pada tahun ke-13 Hijrah, Asma’ berperanan besar di dalam Perang Yarmuk dengan menyediakan logistik bagi pasukan tentera muslimin, memberikan minuman kepada para parajurit yang kehausan dan mengubati tentera yang terluka. Ibnu Katsir menyebutkan peranan para wanita di dalam perang tersebut, dengan berkata, “ Para wanita muslimah pada hari itu telah berjaya membunuh sejumlah musuh dari kalangan tentera Rom. Mereka juga memukul dengan kayu dan membaling batu kepada para tentera kaum muslimin yang berniat untuk lari dari medan perang. (Al-Bidayah wa Nihayah, 7/13; Tarikh Ath-Thabary 2/335)

Salah seorang dari pahlawan wanita yang terjun ke medan tempur ketika itu ialah Asma’ Radiallahu anha. Beliau Berjaya membunuh sembilan orang tentera musuh dengan menggunakan tiang penyanggah khemah. (Al-Ishabah, 4/229; Majma’ Az-Azzawaid, 9/260; Syiar Alamin Nubala’, 2/297)

UCAPAN KHATIBATUN NISA’ DAN HIKMAHNYA KEPADA PARA MUSLIMAT HARI INI

Salah satu ucapan Asma’ bintu Yazid yang paling utama terkandung di dalam pertemuan beliau dengan Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam ketika Baginda sedang bersama dengan beberapa orang sahabat,

Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku adalah utusan bagi seluruh wanita muslimah di belakangku, seluruhnya mengatakan sebagaimana yang aku katakan dan seluruhnya berpendapat sesuai dengan pendapatku. Sesungguhnya Allah Taala mengutusmu bagi seluruh lelaki dan wanita, kemudian kami beriman kepadamu dan membai`atmu. Adapun kami para wanita terkurung dan terbatas gerak langkah kami. Kami menjadi penjaga rumah tangga kaum lelaki, dan kami adalah tempat memenuhi syahwat mereka, kamilah yang mengandung anak-anak mereka, akan tetapi kaum lelaki mendapat keutamaan melebihi kami dengan solat jumaat, menghantar jenazah dan berjihad. Apabila mereka keluar untuk berjihad kamilah yang menjaga harta mereka, yang mendidik anak-anak mereka, maka apakah kami juga mendapat pahala sebagaimana yang mereka dapat dengan amalan mereka?

Mendengarkan pertanyaan tersebut, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam menoleh kepada para sahabat dan bersabda : “Pernahkah kalian mendengar pertanyaan seorang wanita tentang Deen yang lebih baik dari apa yang dia tanyakan?”. Para sahabat menjawab,“Benar, kami belum pernah mendengarnya ya Rasulullah!.”Kemudian Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Kembalilah wahai Asma` dan beritahukanlah kepada para wanita yang berada di belakangmu bahawa perlakuan baik salah seorang diantara mereka kepada suaminya, dan meminta keredhaan suaminya, mengikuti (patuh terhadap) apa yang disuruhnya (selagi tidak melanggar syara’), itu semua setimpal dengan seluruh amal yang kamu sebutkan yang dikerjakan oleh kaum lelaki”. Maka kembalilah Asma` sambil bertahlil dan bertakbir kerana gembira dengan apa disabdakan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam.

Sesungguhnya, ada pengajaran besar dari protes Asma’ bintu Yazid dan kaum muslimah ketika itu. Ternyata, apa yang diproteskan oleh mereka, bukanlah untuk mendapatkan kalung 24 karat seberat 2 kg. Bukan untuk mendapatkan posisi sebagai pemerintah tertinggi di dalam daulah ketika itu. Bukan untuk meminta mereka untuk keluar bekerja dan mengambil posisi sebagai ketua keluarga. Bukan untuk meletakkan hukum-hakam Islam di kandang pesalah dengan tuduhan meremehkan dan menghinakan perempuan. Sebaliknya, yang mereka tanyakan sebenarnya semata-mata adalah persamaan untuk mendapatkan pahala, meraih posisi muttaqin dan menjalankan syariat Sangat hebat bukan?! Cuba bandingkan pula dengan apa yang diperjuangkan oleh para pejuang feminisme yang kononnya lebih peka dan arif tentang masalah-masalah wanita di dalam Islam. Ibarat langit dengan bumi!

Semoga Allah Subhanah wa taala meredhai Asma’ bintu Yazid yang cerdas, perawi hadis, mujahidah mukminah yang solehah dan mulia. Semoga Allah mengurniakan rahmat kebijaksanaan dan keikhlasan yang tinggi kepada para du’at agar dengan itu mampu mencontohi perjuangan generasi muslimah terdahulu.

Wallahu ‘alam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan